Sunday, September 2, 2012

BI vs BM : oh my english


Perbincangan Serius ^_^ (muka harus ketat)

Bulan lepas satu perbincangan hangat di kelas saya...isu "seberapa penting penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Malaysia dalam misi mencapai wawasan negara"

Saya: siapa yang setuju dengan pendapat bahawa penguasaan bahasa Inggeris "wajib"....(belum habis cakap..) 
Murid:  Setuju.....(semua sudah angkat tangan)
Saya: Macam ni susahlah nak berdebat, semua orang penyokong tanpa ada pembangkang....
Murid: Cikgulah jadi pembangkang!
Saya: (Alamak...kurang asam budak-budak ni...pandai pula buat cabaran) Baik seorang lawan 45 pendebat..errmmmm....agak-agak siapa menang....


Macam biasa pihak pencadang aka penyokong harus mendahului hujah....seronok juga melihat keberanian mereka berhujah.

Antara hujah mereka:

1. Banyak teknologi menggunakan bahasa Inggeris, kegagalan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris bermakna gagal menguasi teknologi.

2. Sains dan teknologi bermakna kemajuan, tanpa teknologi bermakna kita tidak akan maju.

3. Bahasa Inggeris bahasa antarabangsa, mudah berkomunikasi dengan orang luar.

4. Revolusi perindustrian bermula di eropah bla..bla..bla...(kening naik da masa ni....berkaitan kah????)

Kata saya: 

Penguasaan teknologi bukan bergantung kepada penguasaan bahasa Inggeris. Biarpun pada masa kini di Malaysia kebanyakan teknologi masih menggunakkan bahasa Inggeris lantaran buku-buku rujukan yang  menggunakan bahasa tersebut. Bagaimanapun, masalah ini merupakan ciptaan sendiri. Kita tidak berusaha memantapkan bahasa Malaysia dan menjadikan bahasa Malaysia merentas teknologi. Apa yang kita lakukan ibarat menyimpan yang lusuh, menjadikannya buruk dan akhirnya menjadi busuk. Begitulah hakikatnya,, apabila penguasaan bahasa Inggeris diutamakan atas sebab pemikiran konyol bahawa hanya bahasa Inggeris membawa kita kepada sains dan teknologi. Akhirnya bahasa Malaysia diabaikan, statik, tidak mengalami perubahan, tidak menerima penambahbaikan, tidak mencapai taraf yang tinggi dan sentiasa goyah  ibarat kain yang lusuh. Menunggu masa untuk buruk dan dibuang. 


Sedangkan bahasa Inggeris terus mendapat "layanan mesra lagi istimewa" tanpa ramai menyedari genarasi kini semakin buta bahasa rasmi. 


Orang Jepun menguasai teknologi bukan dengan menggunakan bahasa Inggeris. Negara lain di Eropah seperti German, Spanyol, Itali, Prancis, Sweden, semuanya menggunakan bahasa masing-masing. Britian yang menggunakan bahasa Inggeris tidak dapat menandingi German dalam teknologi pembuatan kereta. Samsung membangunkan teknologi dari awal hingga kini tidak bergantung dengan bahasa Inggeris. Malahan jelas sekali pemerintah, masyarakat waima pihak swasta di Korea begitu mengaggungkan bahasa Korea itu sendiri sehingga amat sukar ditemui papan tanda iklan menggunakan bahasa asing. Lagu KPop menjadi kegilaan bukan saja di Korea tetapi di mana jua ceruk bumi ini tanpa mengira bahasa itu difahami atau tidak. Akhirnya Wonder Girls turut mengungguli carta lagu hits di Amerika Syarikat. Negara jiran kita Pilipina telah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama sejak sekian lama namun hakikatnya mereka masih jua di takuk lama. 


China merupakan negara yang kini boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan Amerika Syarikat dan Jepun sebagai kuasa baru ekonomi dunia. Adakah kerana bahasa Inggeris? Tidak. Jangan silap buat perhitungan, mereka menjadikan bahasa mereka sendiri menguasai sains dan teknologi bukan sebaliknya. Lihat saja barangan dari negara China, penerangan produk biasanya dibuat dalam bahasa tempatan. Cuba imbau kembali bagaimana masyarakat Cina di negara ini mempertahankan agar dikekalkan SJK Cina dengan alasan kukuh ingin memelihara bahasa ibunda mereka agar terus mekar hingga ke generasi mendatang. 


Kita harus sedar, bahawa penguasaan bahasa Inggeris yang dikatakan sangat sinonim dengan teknologi hanya satu stigma yang akhirnya hanya menjadikan bahasa Malaysia tidak bernilai. Akhirnya apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 152 hanya menjadi hiasan sahaja. Sepatutnya sebagai bahasa rasmi, bahasa ini harus diletakkan di tempat yang sewajarnya. Barulah seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan status bangga menuturkannya.

Akhir kata saya:

Pelajarilah semua bahasa (selagi larat) namun jangan sesekali menanam stigma yang tidak betul dalam minda. Jika selalunya slogan "Malaysia boleh" kenapa pula bahasa Malaysia tidak boleh? Jangan kerana mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan. 


Kita hilang identiti....ibarat rambut semua perang hakikatnya hidung masih kemek.

**********

Akhirnya.......lebih dari majoriti setuju....yang tidak setuju dan masih tidak berpuashati pastinya seorang dua pencadang yang berkobar-kobar tadi. Mereka tidak salah hanya "sistem" yang ada telah mempengaruhi pemikiran dan kepercayaan mereka. Sebenarnya saya tidak fikir pun menang atau kalah, apa yang jauh lebih penting ialah sedikit kesedaran dalam minda mereka bahawa apapun bahasa, di mana pun kita berada, apa jua status kita,  siapa pun kita di mata orang lain, kita masih boleh berjaya dengan identiti diri sendiri.


you must should learn english properly......oopppsss!!!...Oh My English!!


2 comments:

Tracey said...

Yeap memang betul, tapi sehinggalah masyarakat Malaysia faham erti bekerja baru kita boleh berjaya dengan bahasa Malaysia. Kalau nak banding kan Malaysia dengan Jepun bukan dari segi bahasa saja, tpi juga dari segi etika bekerja. KEsungguhan mereka menyebabkan bahasa mereka boleh berjaya. Kita? Kita masih perlu banyak berubah, dan perubahan itu memerlukan masa. =)

d.angel said...

setuju....memang "terlalu banyak" lagi perkara yang kita perlukan untuk berubah dan maju. cuma skop ketika perbincangan itu tidak luas "hanya isu bahasa" Terima kasih atas pendapat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...